Lesson 2 of6
In Progress

Kelas 2 : Bagaimana Memastikan Proses Tandatangan Perjanjian Berjalan Dengan Lancar?

Rizal June 12, 2021
Lesson
Materials

Nota

Pada kelas kali ini, anda akan pelajari apakah proses-proses yang perlu anda laksanakan apabila anda bawa perjanjian ini ke hadapan penyewa anda untuk proses tandatangan.

#1 – Jumpa Penyewa

Sebelum anda bawa perjanjian ini kepada mereka, pastikan anda tetapkan masa, tarikh dan lokasi perjumpaan.

Sebaiknya, tarikh perjumpaan adalah tarikh yang berhampiran dengan tarikh kemasukan mereka (lebih kurang 1 minggu sebelum) supaya mereka boleh ingat dengan apa yang anda perjelaskan sewaktu tempoh perjumpaan tersebut.

Kemudian, sebaiknya proses tandatangan perjanjian sewa rumah ini dilakukan di rumah sewa anda kerana ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan betul-betul sebelum penyewa tandatangan perjanjian tersebut.

Kita akan lihat lebih mendalam tentang perkara ini pada poin yang seterusnya.

#2 – Terangkan Kepada Penyewa

Semasa perjumpaan itu berlangsung, ada beberapa perkara yang perlu anda terangkan kepada penyewa berkaitan dengan perjanjian sewa rumah tersebut.

Objektif Perjanjian

Pertama, secara ringkas, anda terangkan apakah objektif anda menggunakan perjanjian ini.

Bagi anda yang tidak tahu, secara amnya, beritahu mereka sebab kenapa anda menggunakan perjanjian ini adalah bagi memastikan kedua-dua belah pihak dapat lindungi hak masing-masing secara sah di sisi undang-undang Malaysia.

Bahagian-Bahagian Perjanjian

Kemudian, anda terangkan apakah bahagian-bahagian yang perlu diisi dan dipatuhi dalam perjanjian sewa rumah tersebut.

Terma & Syarat

Seterusnya, terangkan setiap satu terma & syarat yang terkandung dalam perjanjian ini.

Walaupun kami menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami pada semua peringkat umur dalam perjanjian ini, ada baiknya anda baca semula kepada mereka setiap perkara yang tertulis dalam perjanjian tersebut.

Ini bagi membantu penyewa sedar dan faham kepentingan setiap terma & syarat yang ada dalam perjanjian tersebut.

#3 – Semakan Inventori Rumah Sewa

Setelah anda selesai terangkan perincian dalam perjanjian sewa rumah ini, tiba masa untuk anda lakukan pemeriksaan menyeluruh pada setiap bahagian rumah sewa anda.

Bawa penyewa lakukan pemeriksaan ke seluruh rumah sewa bersama dengan anda.

Bawa sekali senarai inventori yang telah anda isi sebelum ini untuk semak bersama penyewa.

Sekiranya mereka mempunyai pendapat yang berbeza dan anda bersetuju dengan mereka, contohnya kalau anda tulis suis lampu dalam keadaan yang baik, tetapi bagi mereka suis lampu tersebut sebenarnya keras bila nak tekan, maka anda boleh ubahnya terus ke atas senarai inventori tersebut menggunakan pen atau pensel.

Anda boleh minta penyewa tangkap gambar setiap perkara yang disemak bagi simpanan mereka.

#4 – Tandatangan

Seterusnya, selepas borang inventori selesai diisi dan dipersetujui oleh penyewa, tiba masa untuk tandatangan perjanjian tersebut.

Dalam perjanjian sewa rumah ini, terdapat beberapa bahagian yang perlu ditandatangani oleh penyewa dan juga anda sebagai tuan rumah.

Untuk penyewa, terdapat ruangan di bawah kanan dokumen perjanjian ini untuk mereka tandatangan bagi memastikan mereka bersetuju dengan setiap klausa yang tertulis dalam surat perjanjian ini.

Oleh sebab itu, anda sebagai tuan rumah perlu jalankan tanggungjawab untuk terangkan kepada mereka setiap perkara yang tertulis dalam perjanjian ini.

Kemudian anda sebagai tuan rumah perlu tandatangan pada bahagian yang diperlukan dalam perjanjian ini sebagai tanda persetujuan untuk mengikat kontrak ini bersama penyewa.

Manakala untuk bahagian saksi pula, pada bahagian terakhir perjanjian ini adalah sebagai sokongan sahaja (dan ianya tidak wajib) untuk dilaksanakan.

Sebaiknya untuk saksi ini, anda dapatkan pihak ketiga yang bersifat neutral dan tiada kena mengena dengan anda dan penyewa anda.

Tugas saksi bukanlah untuk turut serta terikat dengan perjanjian ini, tetapi mereka hadir hanyalah untuk melihat proses tandatangan itu betul-betul sahih antara anda dengan penyewa anda.

#5 – Salinan Perjanjian

Setelah proses tandatangan selesai, buat satu salinan copy perjanjian tersebut sebelum di bawa untuk proses mematikan setem nanti.

Salinan dokumen ini gunanya untuk diserahkan kepada penyewa sebagai rujukan mereka.

Kesimpulan

Setelah anda siapkan perjanjian sewa rumah anda, tiba masa untuk bawa perjanjian ini ke penyewa anda untuk mereka tandatangani.

Berikut adalah ringkasan apa yang perlu anda lakukan semasa proses tandatangan itu berlaku:

  1. Jumpa penyewa di rumah sewa anda
  2. Terangkan kepada penyewa isi kandungan perjanjian sewa rumah
  3. Lakukan pemeriksaan seluruh rumah sewa
  4. Anda dan Penyewa tandatangan pada bahagian yang sepatutnya
  5. Buat salinan perjanjian

Pada kelas yang seterusnya, anda akan pelajari apakah yang perlu anda lakukan untuk memastikan perjanjian sewa rumah yang telah ditandatangani ini sah digunakan di mahkamah.