Lesson 5 of6
In Progress

Kelas 5 : Bagaimana Anda Boleh Pastikan Penyewa Kekal Berdisiplin?

Rizal June 13, 2021
Lesson
Materials

Nota

Sila rujuk bahagian Materials di atas untuk dapatkan dokumen sokongan dan nota tambahan bagi kelas ini.

Pada sesi ini, kita akan lihat secara menyeluruh apakah yang anda boleh jangka akan berlaku sepanjang tempoh sewaan dan bagaimana anda boleh kuatkuasakan perjanjian sewa rumah anda.

#1 – Sewaan Rumah Adalah Bisnes

Sebelum anda memulakan perlaksanaan perjanjian sewa rumah anda, apa yang perlu ada dalam mindset anda adalah menganggap sewaan rumah ini sebagai sebuah bisnes.

Kenapa sebuah bisnes? Kerana bisnes mempunyai SOP mereka tersendiri yang wajib dipatuhi oleh setiap pekerja di bawahnya.

Polisi dalam urusan sewaan rumah adalah perjanjian sewa rumah anda.

Kedua-dua belah pihak tuan rumah dan penyewa WAJIB mematuhi polisi ini untuk pastikan pengurusan rumah sewa itu berjalan dengan lancar.

Penyewa tidak dibenarkan sama sekali untuk melanggar atau nego dengan polisi atau peraturan yang telah ditetapkan.

Contoh:

Pernah tak anda lihat orang beli coklat di supermarket dan mereka minta kurang harga?

Tak pernah berlaku kan?

Sebab supermarket pun adalah sebuah bisnes dan mereka mempunyai polisi mereka tersendiri.

Begitu juga dengan sewaan anda.

Ia adalah sebuah bisnes dan perjanjian sewa rumah adalah polisi anda.

Tidak patut penyewa cuba untuk nego atau bersahaja dengan perjanjian ini.

Sebagai tuan rumah, walaupun ianya tidak serasi dengan karakter anda, anda harus bersikap tegas dalam menguatkuasakan perjanjian sewa rumah anda.

#2 – Pantau & Periksa

Apa yang perlu anda lakukan sepanjang tempoh sewaan adalah melakukan pemantauan yang berpanjangan dan pemeriksaan secara berkala.

Antara pemantauan yang perlu anda lakukan adalah:

  • Memastikan penyewa kekal berdisiplin membayar sewa rumah
  • Memastikan bil utiliti sentiasa di bayar
  • Memastikan penyewa menjaga rumah sewa dengan baik

Kerja-kerja pemantauan ini tidaklah sampai perlu anda ganggu privasi mereka.

Cukup sekadar bertanya khabar melalui WhatsApp sudah memadai.

Apa yang penting adalah penyewa kekal mematuhi perjanjian yang telah dibuat.

Untuk pastikan mereka betul-betul patuh dengan perjanjian, pemeriksaan secara berkala harus dilaksanakan setiap 3 atau 4 bulan.

Bermakna setahun 2-3 kali tidak termasuk pemeriksaan terakhir.

Setiap kali anda lakukan pemeriksaan, bawa bersama borang inventori dalam perjanjian tersebut sebagai rujukan.

#3 – Pusat Rujukan

Kemudian, sepanjang tempoh sewaan tersebut juga, pastikan anda menjadikan perjanjian sewa rumah sebagai rujukan utama anda untuk segala perselisihan faham dalam menguruskan rumah sewa anda bersama penyewa.

Sentiasa ingatkan mereka apakah yang mereka boleh dan tidak boleh buat dalam rumah sewa anda.

Apapun, sekiranya terdapat salah faham antara anda dengan penyewa, rujuk perjanjian terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

#4 – Akhir Sewaan

Sebaik sahaja tempoh sewaan penyewa hampir tamat, pemeriksaan akhir perlu dilakukan bagi memastikan tiada kerugian yang perlu anda tanggung sebaik sahaja penyewa tersebut keluar.

Antara perkara yang perlu anda periksa adalah:

  • Pastikan bayaran sewa penyewa anda tidak tertunggak
  • Pastikan juga tiada tunggakan Bil Utiliti sekiranya bil didaftarkan di bawah nama anda
  • Pastikan Rumah Sewa anda dalam keadaan baik – Lakukan pemeriksaan keseluruhan rumah beberapa hari sebelum penyewa keluar
  • Bawa borang inventori yang telah dikepilkan bersama perjanjian sebagai rujukan

Segala pemeriksaan ini perlu dilakukan sebelum penyewa keluar dan sebelum anda pulangkan deposit mereka.

Ini bagi memastikan anda terselamat daripada sebarang isu yang disebabkan penyewa.

Sekiranya ada sebarang kerosakan atau kerugian yang terpaksa anda tanggung, maka anda boleh gunakan deposit penyewa untuk membayar segala kerosakan atau kerugian tersebut.

Sekiranya rumah sewa anda dipulangkan dengan baik, maka anda harus pulangkan ke semua deposit tersebut kepada mereka.

#5 – Tunggakan Sewa

Yang terakhir, apa perlu anda buat apabila penyewa mempunyai sewa yang tertunggak.

Sekiranya ada, anda perlu laksanakan tindakan undang-undang.

Cara yang baik sebelum anda memulakan tindakan undang-undang adalah untuk menghantar mereka notis terlebih dahulu.

Ini bagi memastikan anda telah melakukan tanggungjawab anda untuk memperingatkan mereka untuk melangsaikan tunggakan sewa mereka.

Setelah anda beri notis dan mereka masih lagi liat untuk membayar tunggakan tersebut, anda boleh failkan tuntutan melalui mahkamah majistret.

Dengan syarat, tuntutan tersebut adalah di bawah RM5000.

Sekiranya ia melebihi RM5000, kami nasihatkan untuk anda dapatkan khidmat peguam untuk membantu anda dengan prosedur yang sepatutnya.

Bawa segala dokumen berkaitan penyewaan anda seperti perjanjian sewa rumah, notis dan segala perbualan anda dengan penyewa sebagai bahan bukti dan penguat untuk perbicaraan anda.

Sekiranya mahkamah berpendapat penyewa bersalah, maka pihak mahkamah akan keluarkan saman kepada penyewa mengarahkan mereka membayar segala tunggakan tersebut.

Kesimpulan

Perlaksanaan perjanjian sewa rumah memerlukan tahap ketegasan dan disiplin untuk memantau penyewa.

Tetapi anda tidak perlu risau, proses pemantauan ini hanya perlu dilakukan pada peringkat awal sewaan sahaja kerana lama-kelamaan, penyewa sendiri akan terbiasa dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Secara ringkasnya, terdapat beberapa langkah yang perlu anda lakukan dalam perlaksanaan perjanjian sewa rumah ini:

  1. Menganggap pengurusan rumah sewa ini sebuah bisnes
  2. Sentiasa pantau & periksa keadaan rumah sewa
  3. Menjadikan perjanjian sewa rumah sebagai pusat rujukan utama
  4. Melakukan pemeriksaan di akhir sewaan
  5. Melaksanakan perintah undang-undang dalam hal tunggakan sewa

Ini adalah 5 langkah yang perlu anda lakukan bagi memastikan perjanjian sewa rumah anda kekal relevan dalam memudahkan pengurusan rumah sewa anda.

Download

Sila klik link di bawah untuk muat turun nota-nota berkaitan kelas ini.

Nota Kelas 5 - Bagaimana Anda Boleh Pastikan Penyewa Kekal Berdisiplin?