Lesson 6 of6
In Progress

Kelas Bonus: Jelas & Faham Tentang Penggunaan Perjanjian Sewa Rumah Supaya Penyewa Kekal Berdisiplin

Rizal June 13, 2021
Lesson
Materials

Nota

Sila rujuk bahagian Materials di atas untuk dapatkan dokumen sokongan dan nota tambahan bagi kelas ini.

Kami faham, ramai sebenarnya tuan rumah di luar sana yang tidak sebegitu faham dengan sistem perundangan dan bagaimana perjanjian sewa rumah ni mampu membantu mereka dalam mempertahankan hak sebagai tuan rumah dan mengelak kerugian ribuan ringgit akibat penyewa bermasalah.

Sekiranya anda telah mendapatkan perjanjian sewa rumah daripada kami, kami ingin pastikan anda betul-betul faham makna di sebalik setiap bahagian yang kami masukkan ke dalam perjanjian ini.

Jadi, dalam kelas ini, kami akan terangkan apa yang perlu anda tahu pada tentang perjanjian sewa rumah tersebut dan bagaimana anda boleh gunakannya untuk memudahkan menguruskan rumah sewa anda.

Muka Hadapan

Pertama sekali adalah muka hadapan.

Ada beberapa perkara yang perlu anda tulis pada bahagian ini seperti alamat rumah sewa anda, nama anda, penyewa dan penyewa bersama mereka.

Dan akhirnya, tarikh perjanjian ini dibuat.

Pada bahagian bawah sekali pula adalah pemilikan salinan perjanjian ini. Anda tidak perlu lagi tanda kerana bahagian ini diisi hanya selepas dokumen ini selesai ditandatangan dan telah difotostat sebelum di bawa ke LHDN.

Untuk salinan asal atau original, anda perlu tandakan pada bahagian Salinan Tuan Rumah, manakala untuk salinan Penyewa, tandakan pada bahagian Salinan Penyewa.

Bahagian 1 – Maklumat Penyewa

Seterusnya adalah Bahagian 1 yang perlu anda isi dalam dokumen perjanjian ini.

Bahagian ini fokus kepada maklumat-maklumat yang berkaitan dengan penyewa seperti nama, kad pengenalan, no telefon bimbit, emel, media sosial, alamat asal (kampung halaman mereka), no. telefon rumah (rumah asal), pekerjaan, alamat pejabat, no telefon pejabat.

Segala maklumat ini penting sebagai panggilan kecemasan anda sekiranya mereka tidak dapat dihubungi.

Sekiranya penyewa bertindak untuk melarikan diri, informasi-informasi ini akan membantu usaha anda untuk mencari mereka.

Bagi memastikan segala maklumat yang mereka berikan ini betul, minta daripada mereka dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan.

Sekiranya mereka benarkan, minta juga slip gaji ataupun surat tawaran kerja sebagai dokumen sokongan untuk pekerjaan mereka.

Sekiranya mereka enggan memberinya atas sebab-sebab tertentu, sekurang-kurangnya minta kad bisnes daripada mereka. Dari situ anda boleh tahu apakah jenis syarikat atau pekerjaan yang mereka ceburi.

Di bawah itu kami sertakan garisan tanggungjawab untuk menjaga privasi penyewa sebaik yang mungkin dan hanya digunakan untuk tujuan penyewaan itu sahaja.

Sekiranya anda bersetuju dengan tanggungjawab tersebut dan penyewa mengakui benar atas segala informasi yang mereka tulis pada bahagian ini, maka kedua-dua belah pihak perlu tandatangan pada ruangan yang disediakan di bawah muka surat ini.

Bahagian 2 – Pasangan / Penyewa Bersama

Kemudian, kami juga sertakan bahagian untuk tuan rumah mengisi maklumat pasangan dan/atau penyewa bersama penyewa anda.

Ia merupakan ahli yang mempunyai talian persaudaraan yang juga di bawah tanggungan Penyewa seperti isteri, anak-anak, ibubapa ataupun adik beradik mereka.

Secara amnya, penyewa akan bertindak sebagai ketua dan bertanggungjawab ke atas sebarang kelakuan dan tingkah laku penyewa bersama mereka.

Sebarang pelanggaran perjanjian sewa rumah oleh mereka akan ditanggung oleh penyewa tersebut.

Bahagian 3 – Maklumat Sewaan

Seterusnya, jom kita lihat pula Bahagian ke-3 dalam perjanjian ini, iaitu bahagian yang paling penting antara ke semua bahagian dalam perjanjian ini, iaitu maklumat sewaan.

Bahagian ini akan memperincikan segala perkara berkaitan penyewaan anda.

Jom kita lihat satu per satu perkara-perkara penting yang perlu anda isi di sini:

1. Tarikh Perjanjian

Di sini anda tulis tarikh perjanjian ini ditandatangani. Seperti yang kita pernah bincang sebelum ini, tidak semestinya tarikh perjanjian ditandatangani sama dengan tarikh penyewaan bermula. Ia boleh jadi seminggu awal, tetapi sebaiknya tidak melepasi daripada tarikh kemasukan penyewa.

2. Tempoh Sewaan

Yang kedua adalah tempoh sewaan sama ada 1 @ 2 @ lebih dari 3 tahun.

Ini adalah tempoh penyewa duduk di rumah sewa anda.

3. Tarikh Mula Sewaan

Yang ketiga, adalah tarikh mula sewaan di mana hari pertama kemasukan penyewa

4. Tarikh Akhir Sewaan

Kemudian, yang keempat adalah tarikh akhir sewaan iaitu hari terakhir mereka berada di rumah sewa anda sebelum mereka keluar.

5. Kadar Sewaan

Yang kelima adalah kadar sewaan, iaitu kadar sewa yang penyewa perlu bayar kepada anda setiap bulan.

6. Jadual Pembayaran

Seterusnya adalah jadual pembayaran iaitu berapa hari bulan pada setiap bulan yang penyewa perlu bayar sewa. Contohnya, kalau setiap 5 hari bulan, maka boleh tulis di situ setiap 5 hari bulan.

7. Denda Lewat Bayar

Yang ke-7 adalah denda lewat bayar. Ini adalah kadar denda yang akan anda kenakan kepada penyewa sekiranya mereka melepasi tarikh yang telah ditetapkan dalam jadual pembayaran tadi.

Secara mudahnya, formula yang anda boleh gunakan untuk tetapkan kadar denda ini adalah:

Denda Lewat Bayar = Kadar Sewa Bulanan / 30 Hari = Kadar Sewa Harian

Sekiranya kadar sewa anda adalah RM1500, maka denda lewat bayar yang anda boleh kenakan adalah RM50 sehari.

Lain-Lain

Selain daripada 7 perkara ini, ada beberapa lagi maklumat yang juga dikira penting seperti:

  • Alamat rumah sewa,
  • Maklumat kedua-dua belah pihak iaitu tuan rumah & penyewa),
  • Tapak tempat letak kereta (sekiranya rumah sewa anda adalah apartmen, maka setiap ruangan parking mempunyai nombor lotnya tersendiri)
  • Kadar deposit
  • Tarikh pemulangan deposit (untuk tarikh pemulangan deposit ini, anda boleh letak 5-7 hari selepas tarikh akhir sewaan bagi memastikan anda mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat kira2 sebelum menyerahkan wang tersebut kepada penyewa)
  • Maklumat bank anda untuk penyewa bayar duit sewa mereka kepada anda.

Kesimpulannya, pastikan anda perincikan betul-betul bahagian ini dan jangan tersalah isi kerana bahagian ini adalah bahagian yang penting untuk digunakan untuk mempertahankan hak dalam mahkamah sekiranya perlu nanti.

Bahagian 4 – Senarai Inventori

Bahagian 4 pula adalah bahagian di mana anda senaraikan segala harta benda yang ada dalam rumah sewa anda, khususnya, yang sering digunakan oleh penyewa.

Senarai inventori ini gunanya adalah untuk pastikan penyewa memulangkan rumah sewa anda seperti keadaan asal.

Pemeriksaan awal dan akhir iaitu sebelum penyewa masuk dan selepas penyewa keluar perlu dilakukan dengan membawa senarai inventori ini bersama.

Semua jenis perabot, barangan elektrik dan juga barang-barang yang menjadi sebahagian daripada struktur seperti suis, kipas, kepala paip, tombol pintu, dan lain-lain yang anda rasa penting perlu disenaraikan dalam senarai inventori ini.

Setiap inventori tersebut anda nyatakan bilangannya dan catat keadaan inventori tersebut.

Sama ada dalam keadaan baik, sudah rosak, perlu diperbaiki atau mempunyai sebarang kecacatan.

Sekiranya senarai ini tidak cukup, lampirkan dokumen atau senarai tambahan di Lampiran A.

Dalam masa yang sama, semasa anda lakukan pemeriksaan tersebut, ambil gambar ataupun video untuk setiap inventori yang anda senaraikan ini.

Ingat, senarai ini anda akan guna semula apabila tiba akhir sewaan nanti untuk semak semula keadaan rumah sewa anda. Jadi pastikan anda isi sebaik yang mungkin sebelum penyewaan bermula.

Bahagian 5 – Persetujuan Perjanjian

Bahagian yang ke-5 ini pula adalah bertujuan untuk memastikan kedua-dua belah pihak faham bahawa mereka akan memasuki sebuah perjanjian dan wajib untuk menjalani tanggungjawab masing-masing mengikut garis panduan yang dinyatakan dalam perjanjian ini.

Bahagian ini juga menerangkan terma-terma yang akan digunapakai dan memberi makna di sebalik terma tersebut.

Seperti apabila mana-mana bahagian menyebut perkataan “Tuan Rumah” ia merujuk kepada pemilik rumah sewa tersebut yang tertulis pada Bahagian 3 tadi, sama juga seperti “Penyewa” yang juga tertulis pada bahagian 3 tadi.

Bahagian 6 – Tanggungjawab Penyewa

Kemudian, kita tengok pula bahagian di mana segala tanggungjawab – tanggungjawab penyewa disenaraikan.

Dalam bahagian inilah di mana anda akan senaraikan segala peraturan rumah sewa yang wajib penyewa patuhi.

Penyewa tak boleh bawa kucing masuk rumah sewa?

Penyewa perlu bayar sewa on-time kalau tak kena denda?

Di sinilah tempatnya untuk anda beritahu mereka apa yang mereka boleh dan tidak boleh buat dalam rumah sewa anda.

Sebarang pelanggaran dalam mana-mana terma & syarat yang ditetapkan dalam bahagian ini akan mengundang kepada pembatalan kontrak dan seterusnya penyewa boleh dihalau keluar.

Apapun, ini semua bergantung pada budi bicara anda sebagai tuan rumah.

Sebaiknya, anda teliti terlebih dahulu setiap perkara yang tertulis dalam bahagian ini dan edit mengikut kesesuaian rumah sewa anda.

Apa yang kami tulis di bahagian ini adalah bertujuan untuk melindungi anda sebagai tuan rumah secara menyeluruh.

Tetapi sekiranya anda mempunyai idea yang berbeza, tidak salah untuk anda mengubahnya.

Anda hanya perlu pastikan ia tidak bercanggah dengan terma & syarat yang lain.

Bahagian 7 – Tanggungjawab Tuan Rumah

Seterusnya, pada Bahagian 7 pula adalah Tanggungjawab Tuan Rumah.

Bahagian ini akan menyenaraikan segala perkara yang perlu anda lakukan sebagai seorang tuan rumah.

Objektif utama bahagian ini adalah untuk menjaga kebajikan dan hak penyewa dalam rumah sewa tersebut.

Seperti penyewa, anda sebagai seorang tuan rumah juga wajib mematuhi segala tanggungjawab yang telah ditetapkan dalam bahagian ini.

Sebarang pelanggaran boleh menyebabkan kontrak ini terbatal sekiranya penyewa bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Bahagian ini juga akan memastikan kontrak ini tidak berat sebelah dan boleh mengimbangi tanggungjawab kedua-dua belah pihak.

Tiada keperluan untuk anda terangkan bahagian ini kepada penyewa, anda hanya perlu pastikan diri anda sendiri betul-betul faham dengan tanggungjawab anda bagi mengelak daripada disaman oleh penyewa kerana anda tidak melakukan tanggungjawab anda dengan betul.

Bahagian 8 – Tanggungjawab Tuan Rumah – Penyewa

Bahagian ke-8 ini menyenaraikan apakah tanggungjawab – tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

Ia adalah perkara-perkara yang perlu difahami oleh kedua-dua belah pihak dan lebih tertumpu kepada bagaimana perjanjian ini berfungsi dalam menguruskan rumah sewa tersebut.

Pastikan diri anda dan penyewa faham apa yang tersenarai dalam bahagian ini bagi memastikan pengurusan rumah sewa anda berjalan dengan lancar dan tidak berlaku perselisihan faham antara anda dengan penyewa anda.

Bahagian 9 – Rumusan

Bahagian yang terakhir iaitu Bahagian 9 ini adalah bahagian di mana kita simpulkan segala perkara tertulis dalam perjanjian ini dan dipersetujukan oleh kedua-dua belah pihak iaitu penyewa dan anda sebagai tuan rumah.

Sekiranya anda dan penyewa sudah betul-betul faham apakah makna di sebalik perjanjian ini, maka anda boleh teruskan dengan proses tandatangan pada bahagian ini.

Sekiranya penyewa masih mempunyai persoalan, pastikan anda selesaikan persoalan tersebut sebelum tandatangan.

Pada bahagian saksi pula, anda boleh minta mana-mana wakil daripada kedua dua belah pihak untuk tandatangan.

Saksi hanyalah bertugas untuk melihat proses tandatangan itu berlaku, dan tidak sama sekali bertanggungjawab atau terikat untuk melaksanakan segala yang tertulis dalam perjanjian ini.

Sebaiknya, dapatkan saksi pihak ketiga ataupun neutral daripada kedua-dua belah pihak.

Kesimpulan

Baik, sebelum kita akhiri kelas ini, jom kita recap semula apa yang telah kita pelajari.

Bahagian 1 – Maklumat Penyewa

Bahagian 2 – Maklumat Penyewa Bersama / Pasangan

Bahagian 3 – Maklumat Sewaan

Bahagian 4 – Senarai Inventori

Bahagian 5 – Persetujuan Perjanjian

Bahagian 6 – Tanggungjawab Penyewa

Bahagian 7 – Tanggungjawab Tuan Rumah

Bahagian 8 – Tanggungjawab Tuan Rumah – Penyewa

Bahagian 9 – Rumusan

Untuk bahagian pertama, iaitu bahagian maklumat penyewa, anda perlu isi segala maklumat berkaitan peribadi dan juga pekerjaan mereka.

Bahagian ke-2 pula kita bincangkan mengenai maklumat berkaitan dengan penyewa bersama mereka.

Seterusnya bahagian ke-3 adalah bahagian yang paling penting dalam sewaan ini iaitu menyenaraikan segala perincian yang penting dalam perjanjian ini.

Bahagian 4 pula adalah senarai inventori untuk diisi oleh anda tentang segala yang berkaitan dengan harta benda rumah sewa anda.

Bahagian yang ke-5 adalah persetujuan perjanjian di mana anda dan penyewa bersetuju untuk memasuki perjanjian disertakan juga dengan terma-terma yang bakal digunakan dalam perjanjian ini.

Seterusnya bahagian ke-6 pula adalah senarai peraturan yang wajib penyewa patuhi sepanjang tempoh sewaan yang telah ditetapkan.

Bahagian 7 adalah tanggungjawab anda sebagai tuan rumah.

Bahagian 8 pula adalah tanggungjawab bersama yang wajib dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak.

Dan yang terakhir, bahagian 9 adalah bahagian yang menyimpulkan segala perkara tertulis dalam perjanjian yang diakhiri dengan tandatangan tuan rumah, penyewa dan saksi.

Pastikan anda mengisi sebaik mungkin pada setiap bahagian bagi memastikan diri anda betul-betul dilindungi khususnya daripada penyewa yang bermasalah.

Download

Sila klik link di bawah untuk muat turun nota-nota berkaitan kelas ini.

Nota Bonus: Jelas & Faham Tentang Penggunaan Perjanjian Sewa Rumah Supaya Penyewa Kekal Berdisiplin